Bismillahirrahmanirrahim
Hari Tarwiyah : Persediaan Ruh Menuju Makrifatullah
🌿 Hari Tarwiyah : Persediaan Ruh Menuju Makrifatullah 🌿
Sehari sebelum wukuf di Arafah disebut sebagai Hari Tarwiyah iaitu pada 8 Zulhijjah.
Pada zahirnya, para jemaah haji bergerak ke Mina dan mengisi bekalan air secukupnya sebelum menuju ke Arafah kerana perjalanan yang jauh dan mencabar.
Namun di sisi ahli tasawuf dan para arif billah, Tarwiyah bukan sekadar persediaan jasmani — tetapi simbol persediaan hati menuju Allah SWT.
Allah SWT memuliakan 10 hari awal Zulhijjah sebagai hari-hari terbaik untuk mendekatkan diri kepada-Nya.
﴿ وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ ﴾
"Demi waktu fajar, dan demi malam yang sepuluh."
— Surah al-Fajr
🌱 Jika jasad memerlukan air agar tidak kehausan di Arafah, maka ruh juga memerlukan bekalan agar tidak kering dalam perjalanan menuju Allah.
Bekalan ruh itu ialah:
✨ Zikir
✨ Taubat
✨ Ikhlas
✨ Tawakal
✨ Makrifat kepada Allah SWT.
📌Seorang salik tidak akan sampai kepada penyaksian hatinya terhadap Allah selagi qalbunya masih kering daripada mengingati Allah.
Justeru, sebelum sampai ke “Arafah” — iaitu pengenalan dan makrifat kepada Allah — hati perlu dipenuhi dengan zikrullah.
🌿 Tarwiyah adalah proses tazkiyatun nafs
Penyucian jiwa sebelum menerima limpahan cahaya makrifah.
﴿ قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا ﴾
"Berjayalah orang yang menyucikan jiwanya."
Perjalanan dari Mina ke Arafah bukan sekadar perpindahan tempat, tetapi perpindahan qalbu.
Hakikat safar bagi seorang salik ialah perjalanan menuju Allah.
✨ Seolah-olah Allah mendidik hamba-Nya:
“Jika kamu ingin mengenal-Ku di Arafah, maka kosongkan dahulu hatimu di Mina daripada selain Aku.”
Apabila hati telah dikosongkan daripada cinta dunia, kesombongan, ujub dan kebergantungan kepada makhluk, maka di situlah datangnya limpahan makrifah daripada Allah SWT.
Tarwiyah juga dikaitkan dengan kisah Nabi Ibrahim AS.
Disebut bahawa pada malam Tarwiyah, Nabi Ibrahim AS bertafakkur tentang perintah Allah agar menyembelih puteranya Nabi Ismail AS.
Di situlah bermulanya perjuangan antara cinta kepada Allah dan cinta kepada dunia.
Hakikat korban bukan sekadar menyembelih haiwan, tetapi sejauh mana kita sanggup menyembelih:
▪️Kesombongan
▪️ Keegoan
▪️ Kehendak Nafsu
▪️ Kecintaan dunia
▪️ Kehendak diri yang menghalang perjalanan menuju Allah
🌿 Bulan Zulhijjah mendidik kita tentang:
✨ Ketaatan Nabi Ismail AS
✨ Kesabaran Bonda Siti Hajar
✨ Tauhid dan pengorbanan Nabi Ibrahim AS
Maka tanyakan kepada diri:
🌱 Apakah kita benar-benar bersedia untuk berkorban kerana Allah?
Kerana tidak semua yang datang ke Arafah akan sampai kepada makrifah.
Dan tidak semua yang menyembelih korban telah menyembelih nafsunya.
✨ Hakikat Tarwiyah ialah menyiapkan hati sebelum berdiri di hadapan Allah.
✨ Hakikat Korban ialah pengorbanan meninggalkan kehendak nafsu.
Nota Seterusnya
Tiada nota seterusnya.
Komentar Pembaca
Belum ada komentar yang diluluskan.