Bismillahirrahmanirrahim
Tazkiyat Al-Qulub: Jalan Para Salikin
Sumber : Facebook
𝐓𝐀𝐙𝐊𝐈𝐘𝐀𝐓 𝐀𝐋-𝐐𝐔𝐋𝐔𝐁 : 𝐉𝐀𝐋𝐀𝐍 𝐏𝐀𝐑𝐀 𝐒𝐀𝐋𝐈𝐊𝐈𝐍
Ramai yang mencari cahaya. Sedikit yang berusaha membersihkan tempat turunnya cahaya.
Perjalanan tasawuf adalah perjalanan penyucian qalbu.
Jalan meneguhkan ketauhidan dan kehambaan kepada Allah SWT.
Masyaikh sufi sering mengingatkan para murid (salik) bahawa terdapat tiga marhalah utama dalam perjalanan tasawuf, iaitu Takhalli (التَّخَلِّي), Tahalli (التَّحَلِّي) dan Tajalli (التَّجَلِّي).
Takhalli ialah mengosongkan hati daripada segala sifat yang tercela dan segala sesuatu yang menghalang seseorang daripada Allah SWT.
Tahalli ialah menghiasi jiwa dengan sifat-sifat terpuji seperti ikhlas, tawaduk, sabar, syukur, reda dan mahabbah kepada Allah SWT.
Apabila hati semakin bersih dan jiwa semakin tunduk kepada Allah, maka hadirlah tajalli, limpahan anugerah, futuh, kefahaman, ketenangan dan pembukaan daripada Allah SWT.
Allah SWT berfirman:
﴿ لَا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ ﴾
"Mereka tidak menyentuhnya melainkan orang-orang yang disucikan."
(Surah al-Waqi‘ah: 79)
Sebahagian masyaikh sufi melalui tafsiran isyari menjelaskan, sebagaimana al-Quran yang mulia tidak disentuh melainkan dalam keadaan suci, demikian juga hati yang dipenuhi kekotoran sukar menerima limpahan cahaya, futuh dan tajalli daripada Allah SWT. Cahaya-cahaya ilahiah tidak akan masuk dan 'melekat' pada hati yang dipenuhi kekotoran.
Hati yang dipenuhi kelalaian, cinta dunia, hawa nafsu dan penyakit-penyakit batin akan menjadi hijab daripada menerima limpahan hidayah dan tajalli Ilahi.
Demikian juga Allah SWT memerintahkan kesucian ketika memasuki rumah-Nya. Firman Allah SWT:
﴿ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّى تَغْتَسِلُوا ﴾
"Dan janganlah kamu menghampiri masjid ketika kamu berjunub sehingga kamu mandi."
(Surah al-Nisa': 43)
Jika kita perlu suci daripada hadas besar untuk masuk ke dalam rumah Allah yang zahir (masjid), maka hati yang menjadi tempat pandangan Allah lebih utama untuk dibersihkan dan disucikan.
Perjalanan tasawuf ialah perjalanan keluar daripada kegelapan kepada cahaya. Keluar daripada kelalaian kepada kesedaran. Keluar daripada penghambaan kepada nafsu kepada penghambaan sepenuhnya kepada Allah SWT.
Perjalanan tasawuf juga ialah perjalanan membuang segala bentuk ketakburan. Ilmu-ilmu Ilahiah tidak akan masuk ke dalam hati yang dipenuhi rasa besar diri dan bangga diri.
Sebaliknya, orang yang sentiasa merasakan dirinya faqir, lemah dan berhajat kepada Allah akan sentiasa dibukakan pintu-pintu rahmat dan kefahaman.
Jalan para sufi ialah jalan kerendahan hati. Semakin seseorang mengenal Allah, semakin dia mengenal kelemahan dirinya.
Semakin dalam makrifatnya kepada Allah, semakin dalam kehambaannya.
Semakin tinggi maqam rohaninya, semakin baik akhlaknya.
Makrifat yang benar akan melahirkan akhlak Muhammadiyyah. Lahir sifat rahmah, sabar, kasih sayang, adab dan ihsan dalam kehidupan.
Dan orang yang benar-benar mengenal Allah (makrifat) tidak akan meremehkan syariat Nabi Muhammad SAW.
Semakin dalam makrifatnya, semakin kuat pegangannya kepada syariat. Menjaga yang wajib, menjauhi yang haram, memelihara adab dan memperbanyakkan amalan-amalan sunat. Kerana hakikat dan makrifat yang haq berjalan seiring dengan syariat Muhammad SAW.
Inilah perjalanan yang dilalui oleh para Nabi, para Siddiqin, para Awliya' dan orang-orang soleh. Perjalanan penyucian jiwa yang membawa manusia kepada kesempurnaan tauhid, kemuliaan akhlak dan hakikat kehambaan yang sebenar.
Olahan perkongsian daripada Guru yang dikasihi, Ayahanda Sidi Ibrahim Al Malik
Catatan Dr UMAY 25 Jun | Kemboja
Nota Seterusnya
Tiada nota seterusnya.
Komentar Pembaca
Belum ada komentar yang diluluskan.