Dengarkan Ayat CintaNya ( 7 Rejab 1446 H)

Untaian Doa Ruh yang Merindui

.....................

رَّبَّنَا إِنَّنَا سَمِعْنَا مُنَادِيًا يُنَادِي لِلْإِيمَانِ أَنْ آمِنُوا بِرَبِّكُمْ فَآمَنَّا ۚ رَبَّنَا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّئَاتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ الْأَبْرَارِ (193)

Maksud: Wahai Rabb kami, sesungguhnya telah kami dengarkan seruan yang menyeru kami kepada keimanan, yakni berimanlah kalian dengan Rabb kalian, lantas kami pun beriman. Wahai Rabb kami, ampunilah segala dosa kesalahan kami, hapuskanlah kejahatan-kejahatan kami, dan matikanlah kami bersama golongan al abrar (yang terhimpun padanya kebaikan). (Ali Imran: 193).

........................

Penjelasan:

1) Para mufassirin berikhtilaf dalam memaknai apakah yang dimaksudkan dengan seruan di sini. Sebahagian berpandangan bahawa seruan di sini membawa maksud al Quran dan sebahagian yang lain memahaminya dengan sang pembawa seruan di sini ialah Rasulullah saw.

2) Mereka yang diseru ini telah mendengarkan panggilan al Haqq lantas mereka menyambutnya dengan keimanan yang merupakan sebaik-baik jawapan atas seruan, serta bersabar atas apa jua ujian setelah menyahut seruan keimanan.

3) Wahai Rabb kami, sesungguhnya kami telah diseru dengan seruan keimanan iaitu untuk membenarkanMu, memperakui keesaanMu, mengikuti jejak langkah RasulMu dengan mentaati apa yang diperintahkan ke atas kami, dan menjauhi apa yang dilarang daripada kami sesuai dengan wahyu yang telah datang dari sisiMu.

4) Lantas kami pun mengimaninya wahai Rabb yakni membenarkan dan menyahut seruan keimanan ini.

5) Maka sudilah kiranya Engkau ampuni dosa kesalahan kami, iaitu tutupilah segala aib daripada dosa kami, dan janganlah Engkau bongkarkannya pada Hari Kiamat kelak, pada saat Engkau sememangnya berhak untuk menghukum kami dengan azabMu.

6) Sebaliknya kami pohonkan agar Engkau hapuskanlah segala dosa kesalahan kami dengan sebab kurniaan dan rahmatMu kepada kami.

7) Jemputlah kami pada saat kematian nanti dalam keadaan ruh yang berhimpun bersama golongan al Abrar dan bangkitkanlah kami kelak bersama-sama mereka. Amin.

Moga Allah beri kita faham dariNya tentangNya amin.

Komentar Pembaca

Belum ada komentar yang diluluskan.