Bismillahirrahmanirrahim
Antara Takut Dan Harap Kepada Allah Swt.
Dengarkan Ayat CintaNya (6 Rejab 1446 H)
Antara takut dan harap kepada Allah swt.
.....................
اعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ وَأَنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ [المائدة : 98]
Maksud: Ketahuilah bahawasanya Allah Maha dahsyat azabNya dan bahawasanya Dia juga Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Al Maaidah: 98)
......................
Penjelasan:
1. Secara keseluruhannya dapat kita fahami bahawa ini merupakan seruan kepada sekalian manusia bahawa Rabb kalian yang mengetahui segala urusan di langit dan bumi, tidak tersembunyi walau sedikit pun daripada perbuatan kalian sama ada yang dilakukan secara terang atau sembunyi.
2. Dialah yang akan memperhitungkan setiap amalan kalian untuk diganjari, sama ada dengan azab yang keras pada yang menderhakai, atau mengampuni lagi mengasihi pada yang kembali mentaati, bahkan ditutupi segala aib daripada dibongkarkan kerana sifat rahmat kasih sayangNya.
3. Rahmat ini membuat Dia tidak lagi mengazab mereka yang telah bertaubat dan tunduk kembali kepadaNya swt.
4. Maka, hendaklah kalian semat dengan sepenuh keyakinan di dalam hati bahawasanya Allah memiliki sisi kerasNya di mana azab siksaNya itu amatlah dahsyat bagi orang yang bermaksiat sama ada azab yang segera di dunia atau yang tertangguh di akhirat.
5. Namun dalam waktu yang sama, Dia juga Maha Pengampun lagi Maha Penyayang kepada hamba yang bertaubat dan kembali kepadaNya serta mentaatiNya.
6. Di sinilah terhasil dua sifat yang seimbang yang sewajarnya dimiliki oleh setiap hamba iaitu takut (al khauf) akan murka dan siksaNya serta harap (ar roja') akan keampunan dan ganjaran pahala daripadaNya.
Allahu'alam. Moga Allah beri kita faham daripadaNya tentangNya amin.
Komentar Pembaca
Belum ada komentar yang diluluskan.