Bismillahirrahmanirrahim

Tausiah Awal Ambang Ramadan Oleh Fadhilatu Sheikh Youssef Muhieddine Rek El Bakhour Al Hasani Hafizahullah.

Tausiah Awal Ambang Ramadan oleh Fadhilatu Sheikh Youssef Muhieddine Rek El Bakhour Al Hasani Hafizahullah. (10 Feb 2025/ 11 Sya'ban 1446 H)

............

Bismillahirrahmanirrahim. Wahai para ahbab, pertamanya ucapan terima kasih atas sambutan dan layanan yang baik kepada kami (Sheikhuna dan isteri) atas kunjungan ini. Selanjutnya, hendaklah kita bersama-sama memperingatkan diri kita bahawa kita sedang berada pada bulan Syaaban yang mana ia merupakan ambang kepada kedatangan Ramadan. Maka Syaaban hakikatnya membawa khabar gembira akan hampirnya kita kepada bulan Ramadan, bulan yang selayaknya disambut dengan taubat kepada Allah swt .

Oleh itu, sebelum memasuki Ramadan, hendaklah kita fahami beberapa hakikat agar kita menyedari bahawa kita sedang memasuki bulan Allah swt.

Mafhum daripada hadis qudsi bahawa semua bulan itu adalah untuk anak Adam namun bulan Ramadan adalah untukKu (untuk Allah swt).

Hakikat yang telah banyak hilang daripada kita ketika membicarakan tentang puasa yang membawa erti imsak, iaitu menahan diri dari makan minum sebenarnya merupakan simbolik untuk kita menahan diri daripada melakukan hal-hal yang boleh mengundang murka Allah swt.

Apakah kita menyangkakan kalau Allah swt itu berhajat kepada kita untuk menahan diri daripada makan dan minum? Bahkan Dialah Sang Maha Pemberi rezeki sehingga kita dapat makan dan minum.

Akan tetapi yang ingin disampaikan kepada kita bahawa menahan diri daripada makan dan minum itu adalah simbolik untuk kita menahan diri dari saling bermusuhan, berhasad, atau membenci. Sebaliknya berpindahlah kita atas dasar saling mahabbah.

Dalam erti kata yang lain, berilah kebaikan (بسط اي اعطى) dan tahanlah diri kita (قبض أي امسك) daripada keburukan pada apa jua waktu dan keadaan.

Ketika kita sudah memahami bahawa bulan Ramadan ini adalah bulan untuk Allah, maka bagaimanakah selayaknya untuk kita bermuamalah kepada bulanNya? Pastilah dengan ketaatan!

Namun ketaatan yang dimaksudkan bukanlah semata-mata pada solat, puasa, atau qiamullail yang dikerjakan. Sebaliknya ketaatan yang dibangun atas dasar mahabbah dan ketundukan jiwa hinggalah leburnya dirimu dalam penyaksian kepada Allah.

Apa ertinya segala solat wajib dan sunat atau bacaan al Quran yang kau kerjakan jika lisanmu atau perbuatanmu masih sahaja menyakiti orang lain?

Apakah ibadah yang dikerjakan itu hakikatnya untuk memperbaiki akhlak atau memperburuk akhlakmu?

Mengapakah akhlak kita tidak menjadi lebih baik walaupun kita telah mengerjakan solat dan amal ketaatan kepada Allah?

Hal ini kerana ibadah yang dikerjakan sudah menjadi adat kebiasaan bahkan hilangnya nilai akhlak (adab) di dalam ibadah yang dikerjakan.

Satu soalan mudah, apakah yang diertikan dengan mahabbah? Mahabbah yakni " Aku mencintai bukan kerana adanya sebab atau kepentingan sebaliknya kerana cinta itu sendiri". Jika cinta itu diikat dengan sebab, maka ia hanyalah sebatas naluri dan boleh membawa penyakit.

Barangsiapa yang mencintai kerana sebab/kepentingan, maka pertamanya ia akan mengundang murka Allah dan seterusnya akan menyusahkan serta memeningkan orang lain.

Mahabbah itu apakah dengan ittiba' (taat mengikut kepada yang dicintai) atau sekadar dakwaan? Jika seseorang itu mendakwa cinta, namun tidak mampu mengikuti keinginan yang dicintai, dapatkah dikatakan dirinya sebagai seorang yang benar dalam cintanya atau munafiq yang berpura-pura? Bukankah asas cinta itu adalah penyerahan secara mutlak kepada yang dicintai? Justeru, jika hilangnya penyerahan kepada yang dicintai, maka janganlah sekali-kali kau bicarakan tentang cinta.

Barangsiapa yang tidak benar-benar merealisasikan mahabbah, maka semua kalamnya hanyalah sebatas dakwaan yang tertolak di sisi Allah dan tiada makna pada ibadah yang dikerjakan.

Sebagai seorang Muslim, bukankah Baginda Rasulullah saw adalah suri tauladan kita? Jika Muslimnya kita hanyalah kerana ibu dan ayah kita Muslim, maka kita bukanlah Muslim yang sebenarnya. Kisah Saidina Bilal, seorang hamba berkulit hitam menjadi saksi bahawa Islam itu bukanlah dengan pewarisan darah, sebaliknya ittiba' - kepatuhan atas sebuah keyakinan sama ada pada perkataan mahupun perbuatan. Amalan yang dikerjakan itulah yang menjadi nilai Islam seseorang di sisi Allah, tiada kaitannya dengan hubungan darah. Kisah Wahsyi menjadi bukti jika penyerahan kepada Allah melalui keislamannya mendapatkan penerimaan walaupun sebelumnya beliau kufur dan telah membunuh bapa saudara Baginda saw.

Allah swt berfirman : Katakanlah wahai Muhammad (kepada umat) : Jika kalian mencintai Allah, maka ikutilah aku (Rasulullah saw), nescaya kalian akan dicintai Allah.

Mengapa ayat ini tidak berbunyi, jika kalian mencintai Allah, maka ikutilah Allah? Sebaliknya ikutan itu disandarkan kepada Rasulullah saw?

Di sinilah rahsia pada ayat ini yang mana merupakan isyarat bahawasanya Rasulullah saw telah pun tenggelam dalam kecintaannya kepada Allah sehingga yang disaksikan bukan lagi diri Baginda tetapi hanyalah Allah. Risalah yang dibawa adalah risalah Allah dan tidak ada sama sekali memiliki kepentingan diri atau berasaskan hawa. Tiadalah Baginda saw melihat sesuatu perkara melainkan di sana Baginda saw menyaksikan adanya Allah swt. Inilah nilai Rasulullah saw sebagai seorang Nabi dan Rasul.

Maka bukankah pada diri Baginda saw itu adanya suri tauladan yang baik yang seharusnya kita jadikan pegangan dan ikutan? Panduan yang Baginda saw berikan kepada kita adalah mahabbah bukan kebencian. Engkau mendakwa adanya mahabbah tetapi tidak berqudwah, mengikut kepada yang dicintai, maka dustalah dirimu! Ketika kau mendakwa sesuatu yang tidak kau lakukan maka demi Allah, kau adalah pendusta! Penyaksian kepada Allah, itulah sebenar-benar penjagaan daripada Allah buat diri Rasulullah saw.

Apa sahaja derita dan kesakitan yang tidak Baginda saw lalui. Cacian, penghinaan, pembunuhan yang pernah diterima oleh Rasulullah saw, ahli keluarga Baginda saw dan para sahabat. Namun bagaimanakah Baginda saw akhirnya mendepani mereka ini pada saat peristiwa penaklukan Kota Makkah?

Wahai ahbab, belajarlah dari Nabi saw jika benar kita mencintai Baginda saw! Dengan segala bentuk musibah, penindasan, pembunuhan yang sedang berlaku dalam dunia umat Islam, apakah tidak cukup lagi bagi kita untuk mengambil ibrah? Apakah ini tidak cukup untuk membuatkan kita belajar? Islam itu berlepas diri daripada kita jika kita tidak mengubah diri kita !

Berbalik kepada peristiwa penaklukan kota Makkah, bagaimanakah Baginda saw mendepani orang-orang Quraish? Hanya dengan ayat: " Semoga Allah mengampuniku dan kalian. Pergilah kerana kalian telah bebas."

Maka semua yang disampaikan ini adalab seruan buat sekalian ahbab, marilah kita menyambut Ramadan ini dengan sikap saling memaafkan, berlapang dada, dan berkasih sayang. Mudah-mudahan kita mendapatkan penerimaan di sisi Allah pada bulan yang dimuliakan ini. Allahu'alam.

..................

Demikianlah sedikit perkongsian buat ahbab yang sempat al Faqirah catatkan hasil perkongsian Fadhilatu Sheikhuna Youssef Muhieddine Rek El Bakhour Al Hasani dengan terjemahan oleh Al Fadhil Sidna Ustaz Nasir Hafizahullah. Moga bermanfaat untuk sekalian ahbab. Jika ada kekurangannya, mohon dimaafkan. Jika ada yang salah, mohon dibetulkan.

■ Ukhtukum fillah, Kautsarul Jannah- 11.15 am (12 Sya'ban 1446 H).

Komentar Pembaca

Belum ada komentar yang diluluskan.