Bismillahirrahmanirrahim
Pensyariatan Taubat Sebelum Penerimaan Di Sisi Allah Swt.
Dengarkan Ayat CintaNya (11 Rejab 1446 H)
Pensyariatan Taubat sebelum Penerimaan di sisi Allah swt.
........................
يُرِيدُ اللَّهُ لِيُبَيِّنَ لَكُمْ وَيَهْدِيَكُمْ سُنَنَ الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ وَيَتُوبَ عَلَيْكُمْ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ (26) وَاللَّهُ يُرِيدُ أَن يَتُوبَ عَلَيْكُمْ وَيُرِيدُ الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الشَّهَوَاتِ أَن تَمِيلُوا مَيْلًا عَظِيمًا (27)
Allah berkehendak untuk menjelaskan kepada kalian (SyariatNya) dan untuk menunjuki kalian jalan-jalan aturan orang-orang yang dahulu daripada kalian (Nabi-nabi dan orang-orang yang soleh), juga untuk menerima taubat kalian. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Allah berkehendak untuk menerima taubat kalian sementara orang-orang yang ingin mengikuti syahwat mereka ingin kalian cenderung kepada mereka (mengikuti mereka) dengan penyelewengan yang besar (bahayanya). (Surah An Nisa': 26-27)
........................
Penjelasan:
1. Dalam ayat ke 26, Allah swt menjelaskan bahawa Dia akan menerima taubat hambaNya yang berusaha menjalani syariatNya serta mengikuti jejak langkah para Nabi dan orang-orang soleh yang terdahulu.
2. Sementara pada ayat ke 27, Allah swt sekali lagi menyebut bahawasanya Dia berkehendak untuk menerima taubat hambaNya iaitu dengan menghapuskan dosa-dosa kesalahan yang telah dilakukan.
3. Imam Sya'rawi menjelaskan dengan pemaknaan yang cukup indah mengenai taubat pada kedua-dua ayat ini di mana pada ayat yang ke 26, Allah swt sebenarnya telah mensyariatkan taubat . Jika taubat ini tidak disyariatkan, maka bagaimana kita dapat mengetahui jalan untuk bertaubat kepada Allah atas dosa-dosa yang telah dilakukan.
4. Setelah jelas pensyariatan taubat, maka di sanalah sang hamba itu melaksanakan taubat sesuai syariatNya dan Dia kemudian menerima taubat tersebut.
5. Maka dapat disimpulkan bahawa taubat itu memiliki peringkat-peringkatnya. Pertama, adalah pensyariatan taubat daripada Allah sebagai rahmat bagi kita. Kedua, sang hamba itu bertaubat dengan cara taubat yang telah disyariatkan. Kemudian, Allah swt menerima taubat hambaNya juga dengan rahmatNya swt. Maka taubat itu bermula dengan pensyariatan sebelum mendapatkan qabul (penerimaan) di sisi Allah.
6. Hakikatnya Dialah Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana yang telah membukakan pintu taubat kepada hamba-hambaNya untuk diterima dengan rahmatNya ke dalam hadrahNya swt.
Moga Allah swt beri kita faham dariNya tentangNya. Amin.
.....................
■ Unit Akademik Banaat Yusufi 2025 (AR01)
Komentar Pembaca
Belum ada komentar yang diluluskan.