Bismillahirrahmanirrahim
Kepemurahan Allah Dalam Taubat.
Dengarkan Ayat CintaNya (10 Rejab 1446 H)
Kepemurahan Allah dalam Taubat.
وَهُوَ الَّذِي يَقْبَلُ التَّوْبَةَ عَنْ عِبَادِهِ وَيَعْفُو عَنِ السَّيِّئَاتِ وَيَعْلَمُ مَا تَفْعَلُونَ (25)
Dan Dialah yang menerima taubat daripada hambaNya, memaafkan (menghapus) segala kejahatan dan Dia mengetahui apa yang kalian kerjakan (Asy Syuura: 25).
1. Ayat ini menjelaskan sempurnanya kepemurahan Allah swt, keluasan kurniaNya, dan kehalusan (kelembutanNya) terhadap hamba-hambaNya.
2. Mana-mana hambaNya yang menyesali perbuatan dosa mereka, meninggalkan dan berazam tidak mengulangi dosa tersebut dengan niat semata-mata kerana Allah akan diterima taubatnya oleh Allah.
3. Kalimah al afwu di dalam ayat ini bererti Allah memaafkan sekaligus menghapus dosa kejahatan itu daripada catatan amalan hamba dan tidaklah si hamba itu dihukum atas dosa itu tadi, maka kembalilah hamba itu kepada Allah swt nantinya dalam keadaan mulia, seakan dia bersih tidak pernah melakukan dosa yang telah dilakukan sebelumnya.
4. Namun taubat yang cukup agung amalannya ini hendaklah disertai dengan keikhlasan dan kejujuran, jauh daripada tujuan-tujuan duniawi yang boleh mencacatkan nilai taubat di sisi Allah swt
Moga Allah swt beri kita faham dariNya tentangNya. Amin.
Komentar Pembaca
Belum ada komentar yang diluluskan.