← Kembali ke kata-kata hikmah

mendekatkan diri kepada Allah

Dr. Ustaz Muhammad Afif Yahya

Sekiranya seseorang ingin menjadi nelayan, maka dia perlu berguru dengan nelayan yang berpengalaman. Jika ingin menjadi petani yang berjaya, maka belajarlah daripada petani yang telah lama menempuh asam garam bidang tersebut. Begitulah juga dalam perjalanan kerohanian. Seseorang yang ingin mendekatkan diri kepada Allah tidak cukup sekadar membaca dan mengetahui teori, bahkan memerlukan bimbingan daripada seorang guru yang benar, yang telah menempuh jalan itu dengan ilmu, amal dan pengalaman rohani yang sahih. Ilmu tempatnya di akal, namun rasa dan penyaksian tempatnya di qalbu dan rohani. Banyak perkara boleh difahami dengan akal, tetapi hakikat kehambaan, kemanisan iman, keikhlasan dan makrifat hanya dapat dirasai oleh hati yang hidup. Oleh sebab itu, para masyaikh yang mursyid tidak sekadar mengajarkan lafaz zikir. Apabila mereka mengijazahkan dan mentalkinkan zikir kepada murid, hakikatnya ia adalah proses tarbiah rohani yang disertai dengan limpahan Nur (cahaya) keberkatan, himmah dan yang diwarisi melalui sanad yang bersambung sehingga kepada Rasulullah SAW. Zikir yang diamalkan dengan bimbingan yang benar akan membantu menyuburkan tauhid, membersihkan hati daripada sifat-sifat tercela, melembutkan jiwa, serta menguatkan hubungan seorang hamba dengan Allah SWT. Justeru, perjalanan menuju Allah bukan sekadar perjalanan ilmu, tetapi juga perjalanan hati. Sebab itu para ulama sentiasa menekankan kepentingan berguru agar perjalanan rohani berlangsung dengan selamat, terpimpin dan sampai kepada matlamatnya, iaitu mengenal Allah serta menjadi hamba-Nya yang sejati. Olahan perkongsian daripada Guru yang dikasihi, Ayahanda Sidi Ibrahim Al Malik. Catatan Dr. UMAY 23 Jun | Kemboja

https://www.facebook.com/share/p/17uEtfJ9Gz/

Komentar Pembaca

Belum ada komentar yang diluluskan.