← Kembali ke kata-kata hikmah

Akal dan Qalbu: Muhasabah di Oxford

Dr. Ustaz Muhammad Afif Yahya

Perjalanan kami baru- baru ini dari Kota London ke University of Oxford menaiki kereta api sekitar satu jam. Sebuah universiti antara yang tertua dan terkemuka di dunia, berdiri megah sejak berabad lamanya sebagai lambang keagungan ilmu. Imam al-Shafi‘i رحمه الله pernah berkata : لَيْسَ الْعِلْمُ بِكَثْرَةِ الرِّوَايَةِ وَلَكِنَّ الْعِلْمَ نُورٌ يَقْذِفُهُ اللَّهُ فِي الْقَلْبِ Ilmu bukan pada banyaknya riwayat, tetapi cahaya yang Allah campakkan ke dalam hati. Di hadapan bangunan ilmu ini, aku bermuhasabah. Betapa mudah manusia membesarkan akal, namun lupa menyucikan qalbu. Sedangkan akal tanpa bimbingan wahyu boleh tersesat, dan qalbu yang kosong dengan zikrullah akan menjadi mati. Imam al-Ghazali pernah berpesan, ilmu yang sebenar ialah ilmu yang menghidupkan hati dan mententeramkan jiwa (muthmainah). Guru yang hakiki bukan sekadar menyampaikan ilmu zahir, tetapi membina tauhid, memperindah adab dan memimpin insan kepada makrifat, sehingga terang akal dan hidup rohani. Semakin bertambah ilmu, semakin dekat seorang hamba kepada Penciptanya, Allah SWT. Pendidikan berteraskan Islam dibina atas tiga unsur utama iaitu akal (mental), (jiwa) qalbu dan rohani. Kejayaan pula bukan hanya diukur pada kehebatan kerjaya, pendidikan atau harta. Kejayaan sebenar adalah pada akhlak, tanggungjawab dan manfaat yang diberikan kepada orang lain. Bagi seorang Muslim, kejayaan dunia penting tetapi bukan matlamat utama. Kejayaan akhirat adalah tujuan tertinggi, iaitu mencapai keredaan Allah dan memperoleh syurga. Maka, tujuan hidup kita perlu jelas. Berusahalah bersungguh- sungguh dalam menuntut ilmu di dunia ini, dalam apa jua bidang. Mulakan dengan niat yang ikhlas lillahi taala, kerana ilmu yang benar akan membimbing kehidupan. Gunakan ilmu itu untuk berkhidmat dan memberi manfaat kepada masyarakat. Islam menyelamatkan akal dengan memuliakan, melindungi, dan memaksimalkan fungsinya melalui wahyu (Al-Quran & Hadis). Islam mengharamkan perkara merosakkan akal serta mendorong pemikiran kritis dan tadabbur untuk memahami ayat Allah. Akal yang sihat diperlukan untuk memahami ilmu, iman, dan membezakan antara hak dan batil. Moga setiap langkah dalam menuntut ilmu bukan sekadar menambah pengetahuan, tetapi menjadi jalan keselamatan rohani, mententeramkan qalbu, dan memudahkan perjalanan kita kepada Allah SWT. Dr UMAY University of Oxford London

https://www.facebook.com/share/p/1iHvQy2knL/

Komentar Pembaca

Belum ada komentar yang diluluskan.