← Kembali ke kata-kata hikmah

Kata hikmah

Dr. Ustaz Muhammad Afif Yahya

Bila meneliti keadaan umat hari ini, saya benar-benar merasai betapa pentingnya posisi Guru dalam membina dan menghidupkan semula jiwa umat. Saya bersama Baba Idris Muharram (Fb: Muhammad Idris Bin Muharam ) berkesempatan bertemu Syeikh Muhammad Abu Huda Al-Ya’qubi Al-Idrisi Al-Hasani di Manchester sebagai wakil Rabithah Masyaikh Sufiah Se-Nusantara. Umat Islam perlu kembali bertaut dengan para guru, pewaris cahaya Muhammadiah yang membimbing manusia kepada Allah SWT dengan ilmu, adab, mahabbah dan hikmah. Guru merupakan subjek terpenting dalam sistem pendidikan. Seluruh tujuan pendidikan itu terhimpun pada diri seorang guru. Ilmu bukan sekadar pada kitab, kerana kitab hanyalah himpunan maklumat. Hakikat ilmu adalah cahaya yang hidup dalam diri manusia dan cahaya itu terpancar melalui seorang guru. Para mursyid adalah guru yang berkepakaran dalam bidang kerohanian. Mereka memahami hakikat perjalanan insan di dunia ini. Sepertimana disebut oleh Guru yang dikasihi Ayahanda Walid, manusia telah disistemkan menurut orbitnya yang tersendiri. Apabila tersasar daripada orbit ini, maka rosaklah kehidupan. Manusia akan dikuasai nafsu, tenggelam dalam ketamakan, kesombongan dan kezaliman. Manusia perlukan rawatan. Para mursyid adalah doktor ruhani yang merawat penyakit jiwa. Dengan tazkiyah al-nafs, mereka membimbing manusia keluar daripada belenggu nafsu. Dari ammarah, lawwamah dan mulhamah, menuju ketenangan mutmainnah. Inilah proses mengembalikan manusia kepada fitrah asal kehambaan. Rantaian sanad para mursyid yang bersambung hingga kepada Baginda Rasulullah ﷺ adalah orbit yang memandu perjalanan ini. Ia menjaga manusia agar sentiasa berada dalam rahmat Allah. Jika kita bergembira menjadi umat Nabi ﷺ, para mursyid pula memikul kerisauan Baginda terhadap keselamatan umat, mereka mewarisi amanah untuk memimpin, membimbing dan menyelamatkan manusia daripada kemurkaan Allah. Merekalah pelita ilmu yang menyuluh kegelapan umat dengan cahaya Rasulullah ﷺ. Antara pendekatan yang boleh diambil dalam menilai diri kita di akhir zaman ini ialah dengan memahami elemen tiga Kota Suci. Carilah guru untuk membimbing serta memantapkan keimanan dan kefahaman kita dalam mengurus kehidupan dunia. 1. Mekah – membina asas tauhid, membebaskan manusia dari syirik dan kesesatan. 2. Madinah – menyuburkan iman dengan cinta dan akhlak di bawah bimbingan Nabi ﷺ. 3. Baitulmaqdis – melambangkan pemurnian akal, pembebasan dan keadilan hasil daripada tauhid dan akhlak yang sempurna. Di sinilah peranan guru. Mewarisi misi kenabian, membina tauhid, menyucikan jiwa dan mengangkat kembali martabat insan. Semoga Allah membimbing kita kembali kepada jalan tauhid yang sebenar, mengurniakan kita bimbingan para guru pewaris cahaya Muhammadiah, serta menetapkan hati kita dalam iman dan makrifat hingga akhir hayat. Moga Bermanfaat. Dr UMAY 8 April Ashton Central Mosque Manchaster https://www.facebook.com/share/p/1Axg5LLFgU/

Komentar Pembaca

Belum ada komentar yang diluluskan.