Syukur kepada Allah SWT, direzekikan untuk bertemu serta mengambil barakah daripada seorang alim, muhaddith, Syeikh ‘Isam Al-Sabu’i dari Tunisia.
Beliau merupakan antara murid yang bermulazamah hampir sepuluh tahun bersama gurunya yang masyhur, Syeikh Muhammad Abu Huda Al-Ya’qubi Al-Hasani. Bahkan, beliau merupakan murid yang sangat dekat dan dikasihi oleh gurunya. Syeikh Muhammad Abu Huda Al-Ya’qubi Al-Hasani sendiri sering memuji kesungguhan beliau dalam menuntut ilmu serta ketekunannya dalam khidmat terhadap majlis ilmu terutamanya dalam bidang Hadis.
Syeikh ‘Isam merupakan muqri’ dalam majlis Sama’ Hadis. Syeikh Muhammad Abu Huda Al-Ya’qubi bukanlah seorang yang mudah memilih muqri’, khususnya dalam majlis Sama’ Hadis seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim dan Sunan al-Tirmizi. Tugas sebagai muqri' diberikan kepada Syeikh ‘Isam.
Majlis Sama’ Hadis ini berlangsung dalam tempoh beberapa hari, dari pagi hingga ke malam tanpa henti, hanya berhenti seketika untuk solat dan keperluan. Syeikh ‘Isam sebagai muqri’ akan membaca ribuan hadis dari pagi hingga ke malam di hadapan gurunya serta para hadirin.
Walaupun jadual yang begitu padat, wajah beliau tetap tenang, bahkan tidak terlihat sedikit pun keletihan. Besar khidmat beliau kepada guru, serta amat dalam kasih beliau kepada Rasulullah SAW ﷺ.
Sedikit perkongsian biodata beliau, mudah-mudahan menambahkan rasa kasih dan hormat kita kepada para ulama, pewaris Nabi SAW ﷺ.
Syeikh ‘Isam Al-Sabu’i (atau Issam Sboui) berasal dari Tunisia dan dikenali sebagai seorang ulama muda, pakar hadis kontemporari. Beliau pakar dalam bidang Ilmu Hadis dan periwayatan, serta aktif dalam majlis-majlis Sama’ Hadis di peringkat antarabangsa.
Beliau juga dikenali sebagai pemegang sanad-sanad penting yang bersambung kepada Rasulullah SAW ﷺ melalui rantaian periwayatan yang hidup (living chain). Tokoh yang memelihara kesinambungan ilmu hadis secara talaqqi dan musyafahah.
Di Malaysia, beliau pernah dijemput sebagai salah seorang ulama utama dalam Majlis Sama’ Hadis Sahih al-Bukhari Peringkat Antarabangsa 2024 yang berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya, di mana pembacaan ribuan hadis disempurnakan dalam tempoh beberapa hari.
Selain itu, beliau juga terkenal dalam pengajian kitab-kitab muktabar seperti Al-Muwatta’ Imam Malik, serta sering dijemput ke pelbagai negara termasuk United Kingdom dan Asia Tenggara untuk menyebarkan ilmu hadis.
Kehadiran tokoh seperti Syeikh ‘Isam Al-Sabu’i pada masa kini adalah satu nikmat besar. Mereka adalah penyambung sanad, penjaga warisan Nabi SAW ﷺ, dan cahaya yang menghidupkan kembali tradisi ilmu yang bersambung hingga kepada Baginda Rasulullah SAW ﷺ.
Semoga Allah SWT memelihara para ulama, memberkati umur dan ilmu mereka, serta mengurniakan kepada kita rasa cinta, adab, dan kesungguhan dalam menelusuri jalan ilmu dan makrifat.
Dr UMAY 10 April London UK
https://www.facebook.com/share/p/1DtU2HfLVC/