ISLAM

Hadis Jibril

Hadis Jibril

Daripada Umar r.a. katanya: Pada suatu hari sedang kami duduk di sisi Rasulullah s.a.w. tiba-tiba datang kepada kami seorang lelaki yang sangat putih kainnya, sangat hitam rambutnya, tidaklah kelihatan atasnya tanda-tanda orang yang sedang dalam perjalanan, dan tidak seorang pun daripada kami yang mengenalinya sehingga dia duduk berdekatan dengan Rasulullah s.a.w. lalu dia menyandarkan kedua-dua lututnya kepada kedua-dua lutut Rasulullah s.a.w. dan meletakkan kedua-dua telapak tangannya ke atas kedua-dua paha Nabi s.a.w.

Kemudian dia berkata: Hai Nabi Muhammad! Khabarkanlah kepadaku darihal Islam. Maka Rasulullah s.a.w. menjawab: Islam itu ialah bahawa engkau mengakui tiada tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah, dan engkau mendirikan sembahyang, dan engkau keluarkan zakat, dan engkau puasa bulan Ramadan, dan engkau mengerjakan haji di Baitullah jika engkau sanggup pergi kepadanya. Dia berkata: Benarlah engkau! Maka kami pun tercengang kerana dia yang bertanya dan dia pula yang membenarkannya.

Katanya lagi: Maka khabarkan kepadaku darihal Iman. Rasulullah s.a.w. menjawab: Iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah, dan malaikat-Nya, dan segala kitab-Nya, dan para Rasul-Nya, dan engkau beriman kepada takdir baik-Nya dan jahat-Nya. Dia berkata: Benarlah engkau!

Kemudian dia bertanya lagi: Maka sekarang khabarkanlah kepadaku darihal Ihsan. Rasulullah s.a.w. menjawab: Ihsan ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, tetapi jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Ia melihat engkau.

Lelaki itu bertanya lagi: Terangkan kepadaku tentang Qiamat. Baginda bersabda: Orang yang ditanya tentang Qiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya.

Lelaki itu berkata: Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya. Baginda bersabda: (Antara tandatandanya ialah) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kambing berlumba-lumba membina bangunan (iaitu bertukar menjadi kaya raya). 

Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam sebentar. Kemudian Baginda bertanya: Wahai ‘Umar! Adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu? Aku berkata: Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Baginda bersabda: Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu.

(Hadis Riwayat Muslim)

Hadis ini meliputi semua amalan zahir dan batin dari urusan keimanan, pekerjaan anggota dan urusan hati. Segala ilmu syariat lahir daripada hadis ini. Jadi, hadis ini merangkumi kepada penjelasan agama seluruhnya.

Lampiran

Tiada lampiran. Muat naik lampiran melalui Pengurusan Admin.

Komentar Pembaca

Belum ada komentar yang diluluskan.