Bismillahirrahmanirrahim

Nota Syarah Tadabbur Surah Al-Kahfi (Ayat 60-82)

Sesi 3 01 Jul 2026 Ustaz Fazrul Ismail

Tema Utama

Perjalanan mencari ilmu, adab berguru dan kesabaran dalam menuntut hikmah Allah. (Al-Kahfi: 60-71)

  1. Misi hidup seorang mukmin (AI-Kahfi: 60)

Firman Allah: "Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai ke pertemuan dua laut..." (Al-Kahfi: 60) Nabi Musa AS mempunyai misi yang jelas untuk mencari ilmu. Seorang mukmin tidak berhenti berjuang selepas mencapai sesuatu kejayaan. Dakwah dan menyebarkan tauhid merupakan misi yang berterusan.

Pengajaran

  • Hidup mesti mempunyai matlamat kerana Allah.

  • Jangan cepat berasa puas dengan amal yang sedikit.

  1. Sentiasa mencari ilmu (Al-Kahfi: 60-66)

Nabi Musa AS sanggup bermusafir jauh demi bertemu seorang guru. Walaupun seorang nabi, Baginda tetap mencari ilmu daripada orang yang Allah kurniakan ilmu khas.

Pengajaran

  • Menuntut ilmu ialah kewajipan sepanjang hayat.

  • Teruskan mencari ilmu secara bersemuka atau dalam talian.

  1. Allah memberi petunjuk melalui tanda (Al-Kahfi: 61-64)

Firman Allah: Mereka terlupa tentang ikan, lalu ikan itu mengambil jalannya laut sebagai suatu keajaiban. (Al-Kahfi: 61)

Ikan menjadi tanda tempat pertemuan Nabi Musa dengan Nabi Khidr. Kadangkala Allah memberi petunjuk melalui perkara yang kecil.

Pengajaran

  • Mukmin perlu peka terhadap tanda- tanda kebesaran Allah.

  1. Manusia mempunyai kelemahan (AI-Kahfi: 62)

Firman Allah:"Bawalah makanan kita; sesungguhnya kita telah berasa letih.."(Al-Kahfi: 62)

Nabi Musa sendiri mengalami lapar dan letih.

Penat ialah fitrah manusia.

Pengajaran

  • Jangan menyalahkan Allah apabila diuji dengan keletihan atau kesusahan.

  1. Syaitan sentiasa melalaikan manusia (Al-Kahfi: 63)

Firman Allah: "Dan tidaklah yang menyebabkan aku lupa mengingatkannya melainkan syaitan." (Al-Kahfi: 63)

Syaitan berusaha supaya manusia lupa kepada Allah. Syaitan juga mengalihkan perhatian daripada perkara yang membawa kepada hidayah.

Pengajaran

  • Semakin hampir kepada Allah, semakin kuat gangguan syaitan.

  1. Berpatah balik mencari kebenaran (Al-Kahfi: 64)

Firman Allah: "Lalu mereka kembali mengikut jejak mereka semula." (Al-

Kahfi: 64)

Nabi Musa tidak malu berpatah balik apabila menyedari tempat itulah yang dicari.

Pengajaran

  • Mengakui kesilapan dan kembali ke jalan yang benar ialah sifat orang beriman.

  1. Guru yang sebenar ialah hamba Allah (Al-Kahfi: 65)

Firman Allah: "Lalu mereka bertemu seorang hamba daripada hamba-hamba Kami yang telah Kami kurniakan rahmat daripada sisi Kami dan Kami ajarkan kepadanya ilmu daripada sisi Kami." (AI-Kahfi: 65)

Nabi Khidr dikurniakan dua nikmat besar: Rahmat Allah dan Ilmu daripada Allah.

Pengajaran

  • Ilmu yang diberkati lahir daripada ketakwaan dan rahmat Allah.

  1. Adab berguru (Al-Kahfi: 66)

Firman Allah: "Bolehkah aku mengikutmu supaya engkau mengajarkan kepadaku..." (Al-Kahfi: 66)

Nabi Musa meminta izin terlebih dahulu. Baginda merendahkan diri walaupun seorang rasul.

Pengajaran

  • Penuntut ilmu hendaklah beradab, tawaduk dan menghormati guru.

  1. Ilmu memerlukan kesabaran (AI-Kahfi: 67-68)

Firman Allah:"Sesungguhnya engkau tidak akan mampu bersabar bersamaku." (Al-Kahfi: 67)

"Bagaimana engkau dapat bersabar terhadap sesuatu yang belum engkau ketahui hakikatnya?" (Al-Kahfi: 68) Manusia sukar bersabar apabila tidak mengetahui hikmah di sebalik sesuatu kejadian.

Pengajaran

Kesabaran lahir apabila kita yakin kepada ilmu dan hikmah Allah.

  1. Tawakal Nabi Musa (Al-Kahfi: 69)

Firman Allah:

"Insya-Allah engkau akan dapati aku seorang yang sabar...' ." (Al-Kahfi: 69)

Nabi Musa tidak bergantung kepada kekuatan dirinya. Baginda mengaitkan kesabaran dengan pertolongan Allah.

Pengajaran

Sentiasa memohon pertolongan Allah dalam setiap urusan.

  1. Syarat belajar (Al-Kahfi: 70)

Firman Allah:"Jika engkau mengikutiku, maka janganlah engkau bertanya kepadaku tentang sesuatu sehingga aku sendiri menerangkannya kepadamu." (AI-Kahfi: 70)

Ada masa untuk bertanya. Ada masa untuk mendengar dan memerhati terlebih dahulu.

Pengajaran

Bersabar sepanjang proses pembelajaran.

  1. Permulaan ujian pertama (Al-Kahfi: 71)

Firman Allah:"Lalu berjalanlah kedua- duanya.." (Al-Kahfi: 71)

Bermulalah tiga peristiwa besar yang menjadi modul tarbiah Nabi Khidr kepada Nabi Musa.

Pengajaran

Allah mendidik hamba-Nya secara berperingkat. Hikmah sesuatu peristiwa tidak semestinya difahami pada permulaannya.

Kisah Nabi Musa AS dan Nabi Khidr AS (Al-Kahfi ayat 71-82)

  1. Ujian pertama: Kapal dirosakkan (AI-Kahfi 18:71-73, 18:79)

Nabi Musa AS dan Nabi Khidr AS menaiki sebuah kapal. Nabi Khidr AS melubangkan kapal tersebut. Nabi Musa AS terkejut lalu bertanya:

قَالَ أَخَرَقْتَهَا لِتُغْرِقَ أَهْلَهَا لَقَدْ جِئْتَ شَيْـًٔا إِمْرً

(Al-Kahfi 18:71)

Nabi Khidr mengingatkan bahawa Nabi Musa tidak akan mampu bersabar bersamanya. Nabi Musa kemudian meminta agar tidak dihukum kerana terlupa. (Al-Kahfi 18:72-73) Penjelasan Nabi Khidr kemudian disebut dalam ayat 79: kapal itu milik orang miskin yang bekerja di laut. Di belakang mereka ada seorang raja zalim yang merampas setiap kapal yang elok. Maka kapal itu dirosakkan sedikit supaya tidak dirampas. (Al-Kahfi 18:79)

Pengajaran:

Kadang-kadang sesuatu yang nampak buruk sebenarnya menjadi sebab Allah menyelamatkan kita daripada mudarat yang lebih besar.

  1. Kesabaran dalam menuntut ilmu (Al-Kahfi 18:67-70, 18:72, 18:75)

Nabi Khidr telah memberi amaran sejak awal:

إِنَّكَ لَن تَسْتَطِيعَ مَعِىَ صَبْرًۭا

(Al-Kahfi 18:67)

Ilmu yang belum difahami sepenuhnya memerlukan sabar. Nabi Musa AS cepat bertanya kerana tindakan Nabi Khidr kelihatan bertentangan dengan zahir syariat. Dalam ayat 75, Nabi Khidr menegaskan semula:

أَلَمْ أَقُل لَّكَ إِنَّكَ لَن تَسْتَطِيعَ مَعِىَ صَبْرًۭا

(Al-Kahfi 18:75)

Tambahan lafaz لَّكَ menunjukkan teguran yang lebih Musa.

Pengajaran:

Bila belum nampak keseluruhan hikmah, jangan cepat menghukum. Sabar ialah syarat besar dalam perjalanan ilmu.

  1. Ujian kedua: Anak muda dibunuh (Al-Kahfi 18:74-76, 18:80-81)

Nabi Khidr membunuh seorang anak muda. Nabi Musa AS sekali lagi membantah:

أَقَتَلْتَ نَفْسًۭا زَكِيَّةًۢ بِغَيْرِ نَفْسٍۢ لَّقَدْ جِئْتَ شَيْـًۭٔا نُّكْرًۭا

(Al-Kahfi 18:74)

Penjelasan Nabi Khidr datang kemudian:

مُؤْمِنَيْنِ فَخَشِينَآ أَن يُرْهِقَهُمَا طُغْيَـٰنًۭا وَكُفْرًۭا

(Al-Kahfi 18:80)

Anak itu akan menyebabkan ibu bapanya yang beriman terbeban dengan kedurhakaan dan kekufuran. Allah hendak menggantikan dengan anak yang lebih baik dan lebih dekat kasih sayangnya. (Al-Kahfi 18:81)

Pengajaran:

Ada perkara yang kita sayang, tetapi Allah tahu ia boleh membahayakan iman kita. Allah mengambil sesuatu bukan kerana mahu menzalimi, tetapi kerana rahmat dan ilmu-Nya.

  1. Anak sebagai ujian (Al-Kahfi 18:46, At-Taghabun 64:15)

Anak dan harta adalah perhiasan dunia:

ٱلْمَالُ وَٱلْبَنُونَ زِينَةُ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۖ

(Al-Kahfi 18:46)

Namun anak juga boleh menjadi ujian:

إِنَّمَآ أَمْوَٰلُكُمْ وَأَوْلَـٰدُكُمْ فِتْنَةٌۭ

(At-Taghabun 64:15)

Pengajaran:

Anak perlu dididik supaya menjadi sebab ketaatan, bukan sebab ibu bapa semakin jauh daripada Allah.

  1. Ujian ketiga: Tembok anak yatim dibangunkan (Al-Kahfi 18:77-78, 18:82)

Nabi Musa dan Nabi Khidr masuk ke sebuah negeri. Penduduknya enggan melayan mereka sebagai tetamu. Namun Nabi Khidr tetap membaiki tembok yang hampir runtuh. Nabi Musa berkata, sekiranya mahu, Nabi Khidr boleh mengambil upah. (Al-Kahfi 18:77)

Nabi Khidr lalu berkata:

هَـٰذَا فِرَاقُ بَيْنِى وَبَيْنِكَ ۚ

(Al-Kahfi 18:78)

Penjelasan ayat 82: tembok itu milik dua anak yatim. Di bawahnya ada harta simpanan untuk mereka. Ayah mereka seorang yang soleh. Allah mahu menjaga harta itu sehingga mereka dewasa. (Al-Kahfi 18:82)

Pengajaran:

Kesolehan ibu bapa boleh menjadi sebab rahmat Allah sampai kepada anak-anak walaupun ibu bapa sudah tiada.

  1. Membela anak yatim (AI-Kahfi 18:82; Ad-Duha 93:9)

Nabi Khidr membela hak dua anak yatim walaupun masyarakat di tempat itu tidak melayan mereka dengan baik.

Allah juga berfirman:

فَأَمَّا ٱلْيَتِيمَ فَلَا تَقْهَرْ

(Ad-Duha 93:9)

Pengajaran:

Anak yatim mesti dilindungi, tidak dihina, dan hak mereka tidak boleh diabaikan.

  1. Rahmat Allah dalam Surah Al-Kahfi (Al-Kahfi 18:65, 18:82)

Nabi Khidr disebut sebagai hamba yang diberi rahmat dan ilmu:

ءَاتَيْنَـٰهُ رَحْمَةًۭ مِّنْ عِندِنَا وَعَلَّمْنَـٰهُ مِن لَّدُنَّا عِلْمًۭا

(Al-Kahfi 18:65)

Dalam kisah ini, rahmat Allah terserlah dalam tiga bentuk:

  • Menjaga harta orang miskin melalui kapal yang dirosakkan. (Al-Kahfi 18:79)

  • Menjaga iman ibu bapa daripada anak yang akan membawa kepada kekufuran.(Al-Kahfi 18:80-81)

  • Menjaga harta anak yatim kerana kesolehan ayah mereka. (Al-Kahfi 18:82)

Pengajaran:

Rahmat Allah kadang-kadang datang dalam bentuk yang tidak kita fahami pada awalnya.

  1. Kepentingan menyebut "Insya-Allah" (Al-Kahfi 18:23-24, 18:69)

Nabi Musa berkata:

سَتَجِدُنِىٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ صَابِرًۭا وَلَآ أَعْصِى لَكَ أَمْرًۭا

(Al-Kahfi 18:69)

Dalam Surah Al-Kahfi juga Allah mengajar:

وَلَا تَقُولَنَّ لِشَا۟ىْءٍ إِنِّى فَاعِلٌۭ ذَٰلِكَ غَدًا (٢٣)

إِلَّآ أَن يَشَآءَ ٱللَّهُ ۚ وَٱذْكُر رَّبَّكَ إِذَا نَسِيتَ وَقُلْ عَسَىٰٓ أَن يَهْدِيَنِ رَبِّى لِأَقْرَبَ مِنْ هَـٰذَا رَشَدًۭا (٢٤)

(Al-Kahfi 18:23-24)

Pengajaran:

Ucapan "Insya-Allah" bukan sekadar adat, tetapi tanda hati bergantung kepada kehendak Allah.

  1. Adab sebelum ilmu (Al-Kahfi 18:66-70)

Nabi Musa meminta izin untuk mengikuti Nabi Khidr:

هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰٓ أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًۭا

(Al-Kahfi 18:66)

َNabi Khidr menetapkan syarat agar Nabi Musa tidak bertanya sehingga dijelaskan. (Al-Kahfi 18:70)

Pengajaran:

Ilmu mesti didahului dengan adab. Tanpa adab, ilmu boleh membawa kepada sangkaan buruk, cepat menghukum dan hilang sabar.

Kesimpulan

Kisah Nabi Musa AS dan Nabi Khidr AS mengajar bahawa hidup ini penuh dengan perkara yang tidak terus difahami. Ada ujian yang nampak seperti kerugian, kehilangan atau kesusahan, tetapi sebenarnya mengandungi rahmat Allah.

Tiga pengajaran besar daripada ayat 71-82 ialah:

  • Sabar sebelum memahami hikmah.

  • Beradab dalam menuntut ilmu.

  • Yakin bahawa Allah Maha Mengetahui apa yang tersembunyi.

  • Apa yang kelihatan buruk pada pandangan manusia boleh jadi itulah jalan Allah menyelamatkan iman, harta dan masa depan seseorang.

Komentar Pembaca

Belum ada komentar yang diluluskan.