Dengarkan Ayat CintaNya (1 Rejab 1446 H)

Memaknai Taubat Nasuha

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ يَوْمَ لَا يُخْزِي اللَّهُ النَّبِيَّ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ ۖ نُورُهُمْ يَسْعَىٰ بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَاغْفِرْ لَنَا ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (التحريم: ٨)

Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Rabb kalian menghapus dosa kejahatan kalian dan memasukkan kalian ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari di mana Allah tidak menghinakan NabiNya dan orang-orang yang beriman bersamanya. (At Tahrim: .

Penjelasan:

1. Terdapat banyak ibarat yang diungkapkan oleh para mufassirin dan ulama' tarbiyyah dalam menjelaskan pengertian taubat nasuha. Namun, dapat kita fahami bahawa taubat nasuha adalah taubat yang jujur dan ikhlas daripada seorang hamba dengan meninggalkan dosa yang telah dilakukan menuju kepada amal ketaatan serta segala yang boleh meraih redhaNya swt. Ia juga mestilah diiringi keazaman untuk tidak akan pernah kembali kepada dosa yang pernah dilakukan.

2. Allah swt ingin mengajarkan kita pengharapan kepadaNya, di mana mudah-mudahan dengan sebab taubat yang telah dikerjakan, Allah menghapuskan segala dosa kesalahan dan memasukkan kita ke dalam taman-taman syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari Allah swt tidak menghinakan NabiNya, Muhammad saw serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda saw.

3. Terlihatnya cahaya pada diri golongan yang bertaubat ini serta pada kitab amalan yang dipegang tangan-tangan kanan mereka yang menjadi isyarat akan khabar gembira bagi diri mereka.

4. Mereka memohon kepada Rabb mereka agar dikekalkan cahaya ini sehinggalah selamat melintasi titian sirat kerana bimbang saat melihat terpadamnya cahaya bagi golongan munafiqin.

5. Mereka juga memohon keampunan kepada Allah serta ditutupi aib dosa mereka daripada dibongkarkan kerana sesungguhnya hanyalah Allah Yang Maha Kuasa untuk menyempurnakan cahaya, mengampuni dosa serta melakukan segala sesuatu yang tidak pernah dapat dilakukan selainNya swt.

Komentar Pembaca

Belum ada komentar yang diluluskan.